Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    38 kes baharu COVID-19 dicatat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Seramai 38 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,750 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, daripada jumlah tersebut, 28 adalah kes tempatan manakala 10 adalah kes import.

    “Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 4,145 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.9 peratus,” jelas beliau lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan, dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, hanya satu kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menghadiri sidang media kelmarin.

    “Sepuluh kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,381 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 267 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

    Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 7.1 peratus.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.6 peratus dan 93.7 peratus telah menerima dua dos vaksin manakala itu, 30.1 peratus telah menerima tiga dos.

    Di hujung kenyataannya Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk terus berusaha di samping memberikan kerjasama dalam sama-sama mengawal penularan wabak COVID-19.

    “Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan merahmati Negara Brunei Darussalam agar kita terselamat daripada segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...