Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Sebanyak 39 pain darah telah berjaya dikumpulkan menerusi kempen derma darah anjuran Kementerian Kesihatan yang berlangsung hari ini di Dewan Al-Afiah, kementerian berkenaan.
Dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Klinikal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan, kempen berkenaan disertai oleh kakitangan Kementerian Kesihatan dan juga orang ramai.
Kempen yang bermula pagi tadi itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan Kementerian Kesihatan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan darah.
Antara tujuan lain kempen adalah untuk menambah simpanan darah Hospital RIPAS sebagai usaha menyelamatkan nyawa dan melahirkan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dalam membantu golongan yang susah.