Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Pesta Jualan Makanan 1 Produk 1 Kampung yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-39 Tahun di Impiana Jaya Complex di Kiulap telah membuka tirainya pada petang tadi dengan menyaksikan empat buah kampung terlibat bagi sama-sama memeriahkan acara tersebut.
Pesta yang diadakan selama tiga hari bermula pada hari ini sehingga 26 Februari itu dianjurkan oleh Syarikat Salma Jaya dengan sokongan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Hadir bagi melancarkan pesta tersebut ialah Pengarah Syarikat Salma Jaya, Haji Abdullah bin Haji Metassim.
Haji Abdullah semasa menyampaikan ucapannya antara lain menjelaskan tujuan acara berkenaan diadakan bagi membantu mempromosikan produk-produk kampung dan secara tidak langsung menjana ekonomi kampung melalui aktiviti jualan makanan dan kraf tangan.
Antara kampung yang turut mengambil bahagian ialah Kampung Kapok, Kampung Mentiri, Kampung Mengkubau dan Kampung Kasat.