Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 lelaki hina agama dihukum mati

    ISLAMABAD, 27 JAN – Mahkamah di Pakistan menjatuhkan hukuman mati terhadap empat lelaki atas tuduhan memuat naik kandungan menghina agama dalam talian, kata seorang peguam pendakwaan hari ini.

    “Mereka dijatuhi hukuman mati pada Jumaat kerana menyebarkan kandungan yang menghina terhadap Nabi Muhammad dan Al-Quran secara dalam talian,” ujar peguam pakistan, Rao Abdur Raheem.

    Raheem menambah bahawa kes tersebut disokong oleh bukti forensik daripada peranti yang digunakan dalam perbuatan tersebut.

    Keempat-empat lelaki tersebut dijatuhi hukuman di Rawalpindi, sebuah bandar garison bersebelahan ibu kota Islamabad.

    Kes penghinaan sering menjadi isu yang sangat sensitif di Pakistan, sebuah negara majoriti Muslim, di mana tuduhan yang tidak berasas sekalipun mampu mencetuskan kemarahan awam dan membawa kepada kejadian pembunuhan beramai-ramai.

    Pakistan menyaksikan peningkatan mendadak dalam pendakwaan kes ‘penghinaan dalam talian’, dengan kumpulan bertindak sendiri membawa ratusan tuduhan terhadap individu atas dakwaan melakukan penghinaan.

    Seorang anggota kumpulan sokongan daripada keluarga tertuduh mengesahkan hukuman mati tersebut kepada AFP dan menyatakan bahawa mereka akan mencabar keputusan tersebut di mahkamah yang lebih tinggi.

    “Corak penangkapan dan pendakwaan dalam kes ini menyerupai kes-kes sebelumnya,” ujar anggota kumpulan itu yang enggan dikenali atas sebab keselamatan.

    “Kami menggesa kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat peningkatan kes-kes ini sebelum ramai anak muda menghabiskan kehidupan mereka di dalam penjara.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda