Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, 11 JAN – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini, telah mengeluarkan kompaun terhadap empat buah syarikat dan seorang individu atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021.
Menurut jabatan berkenaan, sebuah syarikat di Kampung Lamunin Barat; perusahaan di Kampung Luagan Dudok; syarikat di Kampung Sinaut; dan sebuah kedai di Kampung Kupang, Mukim Keriam; dan seorang individu dari Kampung Luagan Dudok didapati melakukan kesalahan melonggokkan sampah dan meletakkan kotoran perniagaan di tempat awam.
Empat buah syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $200 dan $500; manakala itu, individu berkenaan dikenakan sebanyak $100 dan mereka dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Syarikat-syarikat yang gagal membayar denda berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi individu, jika gagal membayar denda berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu itu boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P6-2-Pic-1-new_12012023.jpg)