Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Bank Baiduri dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) meneruskan siri memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi episod ke-8 di Auditorium, Bangunan iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa hari ini.
Siri pemerkasaan itu memfokuskan kemahiran perundingan dan pengaruh dalam perniagaan yang disampaikan oleh jurulatih korporat, Mark Stuart dari syarikat latihan yang memenangi anugerah Anagram Group dan memiliki pengalaman lebih 15 tahun serta Certified Speaking Professional (CSP).
Stuart telah melatih lebih 450 syarikat dari pelbagai negara (MNC), agensi-agensi kerajaan dan universiti dalam inovasi, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
Menurut kenyataan dikeluarkan Baiduri di sini hari ini, bengkel sehari itu telah menyaksikan kira-kira 40 perwakilan PMKS diberikan cabaran yang telah ditetapkan dan untuk menggunakan rangka kerja Pemikiran Reka Bentuk (Design Thinking framework).
Mereka juga belajar untuk menguasai seni pengaruh bagi mencapai hasil menang-menang dan mengukuhkan kemahiran perundingan mereka berdasarkan keperluan, kehendak dan permintaan dalam perniagaan melalui peranan utama.



“Kerjasama antara Bank Baiduri dan DARe selama ini telah mengukuhkan komitmen kami dalam sektor PMKS bagi menyediakan penyelesaian perniagaan yang komprehensif untuk mengisi jurang yang menghalang pertumbuhan PMKS di Brunei.
“Sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat Bank Baiduri adalah untuk menjadi salah satu rakan kongsi perbankan utama dalam menyokong PMKS dalam mengejar pertumbuhan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui.
Siri pemerkasaan itu merupakan kesinambungan daripada beberapa bengkel sebelumnya yang mengetengahkan pelbagai topik antaranya, Accelerated Design Thinking, Developing a Digital Marketing Strategy Workshop, Strategic Planning Development Workshop dan banyak lagi sejak April 2019.
Melalui usaha kerjasama itu, kedua-dua Bank Baiduri dan DARe menyasarkan untuk dapat memperkasakan lebih ramai PMKS Brunei untuk mengembangkan perniagaan mereka serta mewujudkan impak yang lebih besar kepada komuniti perniagaan secara keseluruhan.
Di bawah tonggak ekonomi usaha tanggungjawab sosial korporat, Bank Baiduri, bersama DARe, akan dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk terus memberikan sokongan mereka kepada usahawan tempatan.

