Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    400 kena strok setiap tahun

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Syahmi Hassan dan Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Negara Brunei Darussalam merekodkan kira-kira 400 kes baharu strok setiap tahun dengan 65 peratus adalah daripada kumpulan umur 60 tahun ke atas dan 17 peratus lagi adalah daripada kumpulan umur bawah 45 tahun.

    Namun apa yang lebih membimbangkan ialah kematian pramatang akibat strok meningkat hampir dua kali ganda daripada 58 pada tahun 2016 kepada 93 pada tahun 2021.

    Manakala jumlah kematian akibat penyakit serebrovaskular atau strok di negara ini juga telah meningkat daripada 123 pada 2016 kepada 174 pada 2021.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan dapatan itu dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Hari Strok Sedunia 2022, yang berlangsung di Open Plaza, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara, hari ini.

    “Manakala, kadar kematian pramatang akibat strok bagi lelaki sebelum umur 70 tahun adalah lebih tinggi iaitu 254 kematian berbanding 182 kematian dalam kalangan wanita dari 2016 hingga 2021,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, para pegawai Kementerian Kesihatan dan Pantai Jerudong Specialist Centre serta orang awam semasa menyertai walkaton sempena Hari Strok Sedunia di ibu negara.

    Menurutnya, Statistik Data Kesihatan Awam Brunei yang diterbitkan pada 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, menunjukkan bahawa strok adalah punca kematian keempat dan punca utama kehilangan upaya di negara ini.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa WHO mendapati satu kes strok baharu berlaku setiap tiga saat di seluruh dunia, dan satu daripada empat orang antara kita berisiko untuk mendapat strok dalam seumur hidup.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa dari segi faktor risiko strok, lebih satu pertiga (36 peratus) penduduk dewasa di negara ini didapati menghidap penyakit darah tinggi.

    “Dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit darah tinggi ini, lebih satu perempat iaitu 29 peratus, adalah mereka yang tidak pernah dikesan sebelum ini mempunyai penyakit darah tinggi.

    “Manakala, dalam kalangan mereka yang pernah didiagnosis dengan darah tinggi, lebih dari satu pertiga (35 peratus) daripada mereka, tidak mengambil atau tidak mengikuti arahan pengambilan ubat mengawal darah tinggi. Di samping itu juga, dalam kalangan mereka juga ada yang menghisap rokok, menghidap kencing manis dan mempunyai tahap kolesterol yang tinggi,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Menurut beliau lagi, kajian saintifik menunjukkan bahawa rawatan awal strok membawakan hasil dan peluang yang lebih baik untuk pulih. Rawatan untuk strok ada tersedia dan salah satu di antaranya hanya boleh diberikan dalam masa 4.5 jam selepas mengalami gejala strok.

    Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa adalah sangat penting untuk bertindak dengan cepat dan mendapatkan bantuan seberapa segera apabila gejala strok berlaku kerana sesetengah rawatan hanya boleh diberikan dalam tempoh masa yang singkat selepas mula mengalami gejala strok, dan juga bagi membolehkan pesakit mendapat penilaian dan penyiasatan yang diperlukan tepat pada masanya.

    Di samping itu, mengawal faktor-faktor seperti tekanan darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol tinggi (hiperlipidemia), merokok dan pemfibrilan atrium jantung (atrial fibrillation), serta mematuhi pengambilan ubat-ubatan, menurut beliau, adalah sangat penting seperti mendapatkan rawatan awal bagi mencegah serangan gejala strok.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...