Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    43 tamat Kem Pemimpin Belia Henry Dunant

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 43 peserta berumur antara 15 hingga 26 tahun telah menamatkan 48 Jam Kem Pemimpin Belia Henry Dunant 2022 dan menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Bunut, kelmarin.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta yang terdiri daripada sukarelawan dari keempat-empat buah daerah dan platun sekolah-sekolah itu ialah Setiausaha Agung PBSM, Haji Suhaimi bin Haji Ibrahim selaku Penasihat Majlis PBSM.

    Dalam ucapannya, Haji Suhaimi antara lain menjelaskan bahawa perkhemahan pemimpin belia berkenaan adalah perkhemahan berprestij di PBSM di mana belia adalah sebagai pemangkin transformasi dalam proses transformasi bagi sesebuah persatuan.

    Beliau seterusnya menambah, golongan muda memainkan peranan penting dalam tindakan dan pembangunan kemanusiaan di seluruh dunia.

    Antara lain tujuan majlis tersebut adalah untuk mempromosikan PBSM di samping berkongsi idea dan maklum balas untuk masa depan diterajui belia yang lebih baik seterusnya melahirkan generasi pemimpin belia dan membolehkan Belia Bulan Sabit Merah Brunei sentiasa bersedia.

    Pada tahun ini, Kem Pemimpin Belia membawa tema ‘Belia adalah Harapan dan Pemimpin Hari Esok’ dan sepanjang perkhemahan selama tiga hari bermula 15 Disember itu, peserta telah diberikan pengenalan kepada Henry Dunant dan PBSM serta tujuh prinsip asas iaitu kemanusiaan, kesaksamaan, keberkecualian, kemerdekaan, khidmat sukarela, perpaduan dan kesejagatan.

    Haji Suhaimi dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan PBSM NBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda