Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Sebanyak 46 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini yang membawa jumlah keseluruhan kes kepada 16,252 orang.
Daripada jumlah tersebut, 26 adalah kes tempatan manakala 20 kes lagi adalah kes import.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, jumlah kes baharu berkenaan adalah hasil daripada 2,358 ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 2 peratus.
Pihak kementerian turut memaklumkan bahawa di kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, satu kes dalam kategori 4 iaitu pesakit memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi.
Sebanyak 44 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 15,787 dengan sebanyak 363 kes aktif.
Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 8.9 peratus.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.8 peratus manakala bagi yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19 pula telah mencapai kepada 93.9 peratus dan 38.7 peratus telah menerima tiga dos.
Bagi sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang dijalankan antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi 27 Januari pula tiada sebarang kompaun dikeluarkan.