Thursday, October 17, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    48 terima biasiswa BIBD

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar Oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Seramai 48 orang pelajar telah dianugerahkan Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program BIBD ALAF, Pengambilan ke-9 dan ke-10, Sesi Akademik 2022 dan 2023 pada majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB, di sini, hari ini.

    Hadir menyampaikan biasiswa berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap, pegawai kanan kerajaan dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta pengurusan dan wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dalam ucapan alu-aluannya berkata, objektif utama Program BIBD ALAF adalah untuk membolehkan pihak bank dalam sama-sama membantu mengembangkan keperluan tenaga manusia di negara ini.

    Ia memberikan peluang dan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar untuk berjaya dan menjadi generasi belia Brunei yang mapan dan berwibawa sebagai teras kepada kepimpinan negara, seperti yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam menjayakan dan mencapai sasaran Wawasan 2035.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyampaikan Biasiswa Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Program BIBD ALAF kepada salah seorang pelajar di Bangunan PGGMB, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika hadir selaku tetamu kehormat.
    Awang Junaidi ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    Seramai 29 pelajar menerima biasiswa sebagai sebahagian daripada pengambilan ke-9 yang bermula pada tahun akademik 2022, manakala 19 pelajar menerima biasiswa untuk pengambilan ke-10 yang bermula pada tahun akademik 2023.

    Majlis juga turut meraikan graduan universiti pertama BIBD ALAF, Hajah Nurhafikah binti Haji Awang Bakri yang telah berada di bawah program BIBD ALAF sejak 2017 dan baru-baru ini berjaya memperoleh Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.

    Dayang Norhafikah ialah salah seorang pelajar BIBD ALAF Pengambilan ke-3 Sesi Akademik 2016 semasa beliau belajar dalam Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

    Pada 2017, beliau telah lulus Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan mendapat kepujian Mumtaz, seterusnya beliau dianugerahkan Biasiswa BIBD ALAF Pengajian Islam untuk melanjutkan pelajaran dalam Jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar.

    Dayang Norhafikah yang menetap di Kampung Saba Ujung bersama keluarga, lahir pada 2 Oktober 1997 dan merupakan anak ketujuh daripada lapan orang adik beradik. Ayah beliau, Allahyarham Haji Bakri bin Haji Miga meninggal dunia pada tahun 2015.

    Manakala, ibu beliau, Hajah Salmah binti Haji Durain tidak bekerja dan sebagai ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerusi Skim Kebajikan Negara (SKN) sebanyak $305 sebulan pada ketika itu.

    Beliau berjaya menamatkan kuliah selama empat tahun di Universiti Al-Azhar dan lulus dalam pengajian Sarjana Muda Syariah Islamiah pada Ogos tahun lalu.

    Beliau berhasrat untuk meneruskan pengajian Diploma Lepasan Ijazah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada sesi akademik 2023 menerusi Skim Bursari Pengajian Lanjutan BIBD ALAF.

    Dayang Norhafikah merupakan pelajar pertama Program BIBD ALAF yang telah dianugerahkan Biasiswa BIBD ALAF Pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi di luar negara.

    Biasasiwa Pengajian Islam BIBD ALAF dibiayai sepenuhnya dengan menggunakan peruntukan Dana Zakat BIBD.

    Menurut Awang Junaidi, sejak program berkenaan mula diungkayahkan pada 2013, seramai 276 orang pelajar telah mengikutinya dan ia telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dengan keputusan 100 peratus kelulusan dalam Gred A atau markah melebihi 75 peratus, dan 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan utama iaitu Peperiksaan Sijil Rendah (PSR), Brunei Cambridge GCE O dan A Level, Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan, STPUB di peringkat Pengajian Arab pada setiap tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda