Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Seramai 49 peserta terdiri daripada ketua jabatan, ketua pegawai eksekutif, dan penguasa perubatan dari Kementerian Kesihatan serta sektor penjagaan kesihatan swasta, termasuk Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), telah menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutup Program Eksekutif Kepimpinan Penjagaan Kesihatan (HLEP), hari ini.
Majlis yang berlangsung di Bilik Serba guna, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara itu merupakan program inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Brunei Darussalam, dan Singapore Health Services Pte Ltd (SingHealth), Singapura.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Program tersebut mengintegrasikan pengurusan dan komponen kepimpinan, khusus disesuaikan dengan industri penjagaan kesihatan.
Ia antara lain bertujuan untuk melengkapkan pemimpin yang berpotensi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi mengambil peranan kepimpinan selain untuk meningkatkan pemahaman peserta tentang fungsi pentadbiran dan pengurusan dalam organisasi penjagaan kesihatan.
Program itu dibahagikan kepada dua fasa sesi latihan iaitu fasa pertama, telah berlangsung pada Mei lalu yang melibatkan beberapa siri bengkel dan aktiviti berkonsepkan asas kepimpinan dan pengurusan.
Fasa kedua, yang bermula pada Ogos, memberikan tumpuan kepada pengurusan penjagaan kesihatan dan aplikasi praktikal pengetahuan serta kemahiran melalui projek kumpulan.
Ia dihasrat untuk menyediakan bakat bagi Kementerian Kesihatan dengan mengumpulkan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai untuk memikul tanggungjawab kepimpinan serta bagi meningkatkan keupayaan dalam menerajui inisiatif pembangunan penjagaan kesihatan strategik.
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Pengarah Am Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; dan para pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.











