TEHRAN, 7 OGOS – Lima orang mangsa termasuk dua anggota polis terbunuh dan kira-kira 11 lagi cedera dalam bangunan runtuh di ibu negara Iran, lapor media tempatan hari ini.
Anggota polis masih menjalankan tugas menyelamat dan merobohkan ‘bangunan yang tidak berlesen’ di kawasan barat daya Tehran semalam menurut agensi berita ISNA. Agensi berita lain, Tasnim, menyatakan dua daripada anggota polis terbunuh.
Jumlah ‘korban runtuhan’ bangunan itu kini mencapai lima orang, kata jurucakap Jabatan Bomba Tehran, Jalal Maleki, kepada agensi berita Fars.
Menurut ISNA, pihak berkuasa memulakan perobohan sebuah bangunan apabila lima bangunan lain runtuh.
Operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mangsa lain yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan, lapor ISNA dan Tasnim.
Gambar-gambar dari tempat kejadian yang dikeluarkan oleh Tasnim menunjukkan pasukan penyelamat dan jentera berat bekerja di bawah timbunan serpihan dan logam setinggi beberapa meter tinggi, dengan bangunan lain yang tidak siap dan rosak sebahagian di sekelilingnya.
ISNA memetik kenyataan polis berkata, bangunan-bangunan yang runtuh itu tidak mematuhi ‘langkah-langkah keselamatan pembinaan.’
Seorang pegawai bandar Tehran berkata Sabtu lalu, pihak berkuasa telah merobohkan lebih 46,000 bangunan ‘haram’ sejak dua tahun lalu, menurut akhbar Hamshahri. – AFP
