Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Seramai 17 orang pembaca dari lima negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Republik Turkiye dan Republik Rakyat China telah menyertai Program Baca Bahana secara dalam talian anjuran Kumpulan PUTRA Seni (KPS) dengan tema ‘Memaknai Aidilfitri’, kelmarin.
Antara yang hadir dalam Projek Baca Bahana sempena Hari Raya Aidilfitri itu ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, kakitangan DBP Brunei Darussalam, serta para penggiat, pencinta dan pengamat seni tempatan dan antarabangsa.
Program itu melibatkan lima pembaca tanah air iaitu Zefri Ariff Brunei (Ketua I Kumpulan PUTRA Seni), Sham HA, A. Amin, Wathiqah HW dan Salleh Osman, serta 12 orang pembaca mewakili negara masing-masing, iaitu Mustika Renjis (Indonesia), Hudan Nur (Indonesia), S.M. Zakir (Malaysia), Sharil Kasak (Malaysia), M. Azuwan (Malaysia), Ana Akil (Malaysia), Wawa Aisyah (Malaysia) Liza Yamin (Malaysia), M. Affan (Malaysia) dan Asbah (Malaysia).
Program turut menampilkan pembaca istimewa dengan penyertaan khas Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy (mewakili Turkiye), dan bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dr Xiao Jinguo (mewakili negara China) yang juga membacakan sajak bertema Aidilfitri, bersumber daripada majalah Bahana terbitan DBP.
Projek Baca Bahana mula diadakan pada 2020 bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa sebagai salah satu usaha memasyarakatkan dan memartabatkan Bahasa Melayu secara menyeluruh yang melibatkan pelbagai institusi dan menjadikan karya sastera kreatif (syair, pantun, sajak, cerpen) terbitan majalah Bahana sebagai sumber bahan bacaan dalam projek berkenaan.
Penyertaan projek itu melibatkan peserta yang terdiri dalam kalangan tokoh seni, para penggiat, pengamal dan pencinta seni dari dalam dan luar negara.
Antara tujuannya diadakan adalah bagi menjalin pertemuan atau menyatukan para penggiat dan peminat sastera tempatan dan luar negara di samping memelihara nilai bahasa dan seni sastera, memperkenalkan karya penulis tempatan ke persada antarabangsa, mengangkat, memperkasa dan menanamkan semangat cintakan bahasa dari pelbagai latar dan bangsa, serta menyemarakkan aktiviti seni secara maya.
Baca Bahana itu dirancang untuk dilaksanakan secara berterusan melalui aplikasi Zoom dan penstriman. Program berkenaan turut diserikan dengan Video Khas Aidilfitri sebagai pembuka tirai persembahan, oleh Kumpulan Gerak DBP, yang dijayakan oleh Bahagian Sastera dan Majalah, DBP yang menggabungkan persembahan seni tambang syair, bacaan pantun dan deklamasi sajak.