Monday, November 25, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 tahun lawan kanser buah pinggang

    Lima tahun melawan kanser buah pinggang, penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano memilih menjalani prosedur imbasan tomografi pancaran positron (PET) di sebuah hospital di Pulau Pinang.

    Vidi, 34, bagaimanapun berkata, hasil prosedur itu tidak seperti diharapkan dan membuatnya kembali tertekan mengenangkan penyakit dihidapi namun belum berputus asa melawan kanser.

    “Saya pergi ke Pulau Pinang baru-baru ini bukan untuk rawatan tetapi melakukan imbasan PET kerana sudah sampai waktunya. Hasilnya bagaimanapun tidak seperti diharapkan. Ia tidak buruk, tidak juga baik.

    “Saya masih berharap dapat terus berjuang melawan penyakit ini sebab ia bukan mudah apatah lagi melihat keputusan prosedur itu yang membuatkan saya tertekan,” katanya.

    Vidi berkongsi perkara tersebut dalam satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya selepas dia selesai menjalani prosedur itu di Pulau Pinang baru-baru ini.

    Vidi menjalani prosedur imbasan PET di sebuah hospital di Pulau Pinang baru-baru ini. – mStar

    PET adalah prosedur pengimejan perubatan terkini yang boleh memberikan maklumat terperinci tentang fungsi-fungsi organ atau sistem dalam badan manusia.

    Imbasan PET biasanya dijalankan untuk mendiagnosis kanser, gangguan neurologi (otak) dan penyakit kardiovaskular (jantung).

    Memetik laporan mStar, Vidi disahkan menghidap kanser buah pinggang sejak 2019 dan pernah melakukan pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Sementara itu, walaupun berdepan masalah kesihatan Vidi masih aktif meneruskan aktiviti seni termasuk mengadakan persembahan pentas selain menjalani penggambaran program televisyen.

    Walaupun ramai peminat risau dengan keadaannya, Vidi menganggap kesibukan bekerja adalah sebagai salah satu terapi mengembalikan semangat dalam diri. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda