LOS ANGELES, 2 Okt – Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan lebih 400 lagi yang lain ketika dia melepaskan tembakan ke atas sebuah konsert muzik di Las Vegas pada Ahad dalam penembakan paling dahsyat dalam sejarah AS moden.
Polis berkata, lelaki bersenjata itu yang merupakan seorang penduduk tempatan berusia 64 tahun bernama Stephen Paddock, terbunuh selepas pasukan SWAT bertindak balas terhadap laporan tembakan itu yang bermula dari tingkat ke 32 di Mandalay Bay, sebuah hotel kasino di sebelah tempat konsert.
Orang ramai menjerit dan melarikan diri dalam keadaan panik tatkala kejadian itu berlaku secara mengejut di tempat itu sejurus selepas pukul 10 malam waktu tempatan (0500 GMT Isnin), rakaman yang ditangkap pada telefon pintar menunjukkan.
“Kami melihat lebih daripada 50 orang maut dan 400 orang cedera pada masa ini,” kata polis Metro Las Vegas Sheriff Joseph Lombardo pada sidang akhbar pada hari Isnin.
“Jelas sekali kejadian ini sangat tragis dan tidak pernah kita alami.”
Lombardo berkata, polis dan FBI masih mencari latar belakang Paddock tetapi mereka telah menemui banyak senjata api di dalam bilik di hotel yang didiaminya.
Polis mengatakan bahawa Paddock telah melancarkan tembakan ke atas orang ramai dari tingkat 32 di sebuah hotel yang terletak di Las Vegas Strip yang terkenal.
Seorang wanita bersama Paddock, yang sebelum ini telah dinamakan sebagai orang yang dikehendaki oleh polis, dipercayai telah dikesan, kata Lombardo.
Beribu-ribu peminat menghadiri konsert di sebelah Mandalay Bay yang merupakan sebahagian daripada festival muzik negara tiga hari yang dikenali sebagai Route 91.
Presiden AS, Donald Trump diberi taklimat mengenai tragedi yang mengerikan itu, kata White House dan beliau telah menulis di Twitter untuk memberi ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga. – AFP