LONDON, 23 Feb – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan bahawa ia hanya memerlukannya kurang daripada seminit daripada sepak mula untuk tahu sama ada pasukannya bergelut atau tidak dalam sesuatu perlawanan.
Pasukan utara London itu akan berdepan dengan Gent dalam aksi Liga Europa di Wembley awal pagi esok, dalam satu perlawanan di mana mereka harap dapat menterbalikkan defisit 1-0 berikutan kekalahan dalam perlawanan pertama di Belgium minggu lepas.
Spurs hanya menang tiga kali dalam tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua persaingan, dengan Pochettino terdesak untuk membuang prestasi tidak konsisten pasukannya.
“Apabila kami memulakan perlawanan, jika anda baru menyaksikannya selama 50 saat, anda tidak perlu menjadi seorang yang pintar untuk mengetahui bahawa kami mungkin bergelut dan mempunyai beberapa masalah dalam perlawanan itu,” kata Pochettino dalam satu sidang media.
“Di saat itu, ia sukar untuk diubah. Kami telah mengubah formasi ketika rehat separuh masa untuk cuba menaikkan semangat pemain, tetapi ia mustahil.
“Masalahnya adalah apabila anda tidak bermula dengan baik, ia terlalu sukar untuk mengubah persepsi itu dan kemudian anda memberikan petanda baik kepada pasukan lawan bahawa anda tidak fokus dalam perlawanan.
“Anda perlu mengubah mentaliti itu.”
Satu gol dari Gent di Wembley akan menyebabkan Spurs terpaksa menjaringkan tiga gol untuk kekal dalam kejohanan itu, yang kelihatannya menawarkan peluang realistik untuk menjulang piala, meskipun mereka juga berada dalam suku akhir Piala FA. – AFP