Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 sertai bengkel kesihatan mental

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Hampir 50 orang ahli organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) menghadiri bengkel Kesedaran Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Diri yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan (HPC), baru-baru ini.

    Bengkel yang diadakan secara berfasa itu bukan sahaja diharapkan dapat mengongsikan perkara-perkara berkaitan dengan kesihatan mental dan kesejahteraan diri, serta sumber-sumber yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, malah memberikan platform bagi organisasi-organisasi terpilih untuk berhubung terus dengan pihak pusat bagi mendapatkan bantuan dan sokongan dalam apa jua aktiviti mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan yang dianjurkan mereka secara langsung.

    Bengkel berkenaan diisi dengan sesi taklimat mengenai ‘Kesihatan Mental dan Cara-cara Menanganinya’ yang di-sampaikan oleh ahli psikologi dari HPC, Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah, dan taklimat mengenai jenis-jenis kecelaruan mental disampaikan oleh ahli psikologi klinikal dari Bahagian Psikologi Klinikal, Dayang Atiqah binti Safar.

    Selain, ia turut diisikan dengan sesi perbincangan dalam kalangan peserta mengenai isu-isu berkaitan kesihatan mental, serta sesi soal jawab bersama ahli-ahli psikologi dari Bahagian Psikologi Klinikal, Bahagian Psikologi Masyarakat dan Unit Strategi Kesihatan Mental.

    Organisasi-organisasi yang digelar Friends of HPC itu merupakan badan-badan yang telah memeterai perjanjian kesefahaman dengan pusat berkenaan pada 8 November 2022 sempena Pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025 dan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022.

    Lima organisasi di bawah usaha sama berkenaan termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Majlis Belia Brunei, The Big Begawan Project, Cope for Hope dan Blue Raincoat Collective.

    Inisiatif berkenaan diharapkan dapat memperkasakan serta mengiktiraf organisasi-organisasi bukan kerajaan ini.

    Gambar ramai peserta bengkel yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan (HPC), baru-baru ini.
    Antara peserta yang menghadiri bengkel Kesedaran Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Diri di HPC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda