Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 Tahun: Hello Kitty masih punya daya tarikan tersendiri

    TOKYO – Hello Kitty, watak comel dan penuh misteri yang menghiasi segala-galanya daripada beg tangan hingga periuk nasi, sudah pun berusia 50 tahun pada Jumaat – dan masih menjana pendapatan berjuta-juta untuk pencipta di Jepun.

    Reka bentuk watak yang ringkas – yang bukan seekor kucing, tetapi seorang gadis kecil dari London menurut Sanrio, syarikat di sebalik Kitty – mempunyai pengaruh sebagai penjana wang untuk tahun-tahun akan datang, kata pakar.

    Seorang wanita di negeri California di Amerika Syarikat (AS) telah mengumpulkan begitu banyak barangan Hello Kitty sehingga suaminya membinanya ‘bilik peribadi khas’ merah jambu yang dipanggil ‘she-shed’ untuk menyimpan koleksinya.

    Di dalamnya terdapat beribu-ribu mainan dan barangan lain yang menampilkan Kitty dan tali leher kupu-kupu warna merah yang menarik perhatian, termasuk deretan cermin mata hitam, kerusi pusing dan dispenser gula-gula baharu.

    “Orang sebaya saya, awda tahu, kami diberitahu berkali-kali, ‘Hello Kitty adalah untuk kanak-kanak kecil,’ dan saya ketawa mendengarnya,” kata Helen dari Riverside County, mengakui dia berusia dalam lingkungan 50an.

    Helen, pengasas kelab peminat ‘Hello Kitty SoCal Babes’ bergambar dengan koleksinya dalam bilik peribadinya di Riverside County, California. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Patung Hello Kitty mengalu-alukan pelawat di Sanrio Puroland semasa sambutan ulang tahun ke-50 di Tama, barat Tokyo. – AP

    Helen, yang memandu SUV dihiasi Hello Kitty dan mengendalikan kelab peminat tempatan ‘Hello Kitty SoCal Babes’, menjadi ‘taksub’ dengan watak itu sejak penampilan sulungnya di AS pada tahun1970an.

    Koleksi mewah barang mainan Hello Kitty ‘membuat saya berasa selesa’, katanya, menggambarkan meluang masa berjam-jam dengan barang mainan tersebut, kebanyakannya unik, dengan kerap.

    “Sesuatu dalam jiwa saya akan sembuh,” katanya.

    Hello Kitty memulakan kehidupan sebagai ilustrasi pada dompet syiling vinil.

    Sejak itu, ia telah muncul pada puluhan ribu produk – rasmi dan tidak rasmi – termasuk kerjasama dengan Adidas, Balenciaga dan jenama terkemuka lain.

    Fenomena itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan menjadi perlahan, dengan filem Warner Bros sedang dalam perancangan dan taman tema Hello Kitty baharu dijangka dibuka tahun depan di pulau tropika Hainan di China.

    Harga saham Sanrio telah melonjak lebih tujuh kali ganda, mendorong modal pasarannya melebihi satu trilion yen (AS$6.8 bilion), sejak Ketua Pegawai Eksekutif muda, Tomokuni Tsuji mengambil alih daripada datuknya pada 2020.

    ‘PRODUK ASLI’

    “Adalah bodoh untuk mengatakan bahawa kami tidak memerlukan benda-benda lembut, gebu, merah jambu ini,” beritahu Christine R. Yano dari Universiti Hawaii kepada AFP.

    Malah, ‘berdasarkan ciri-ciri kehidupan kontemporari kita yang tertekan, mungkin kita lebih memerlukannya sekarang berbanding sebelumnya”, kata Yano, pengarang buku Pink Globalization tentang Hello Kitty.

    “Ini bukan fenomena yang telah lenyap atau akan lenyap, sekurang-kurangnya bukan sekarang,” tambahnya.

    Tidak seperti eksport budaya Jepun yang lain seperti Pokemon atau Dragon Ball, watak itu tidak emmpunyai banyak naratif, dengan nama penuhnya ialah Kitty White.

    Dia mempunyai adik kembar Mimmy, teman lelaki bernama Dear Daniel, dan kucing peliharaannya sendiri, kata Sanrio. Dia suka pai epal hasil tangan ibunya dan bercita-cita menjadi pemain piano atau penyair.

    Selebihnya bergantung pada imaginasi peminat – sama seperti ‘reka bentuk abstrak dan kosong yang boleh bercakap dengan penuh kesederhanaan dan keanggunan kepada lebih ramai orang,’ kata Yano.

    “Saya memanggilnya produk asli, ” tambah penyelidik itu.

    Sesetengah feminis mengatakan Hello Kitty tanpa mulut merupakan simbol ketidaksempurnaan, tetapi Yuko Akiyama, ketua pengurusan jenama global Sanrio, berkata ia membenarkan watak itu ‘mencerminkan’ emosi yang berbeza.

    “Jadi jika mereka sedih, Hello Kitty akan menghiburkan awda. Jika awda gembira, Hello Kitty ada di sana untuk berkongsi kegembiraan dengan awda,” kata Akiyama.

    KAWAII

    Peminat Hello Kitty yang terkenal termasuk Lady Gaga, Nicki Minaj dan Katy Perry, dan daya tarikannya menjangkau kerabat diraja: Raja Britain Charles mengucapkan selamat hari lahir kepadanya tahun ini.

    Dalam akaun TikTok Hello Kitty – yang biografinya ialah ‘CEO supercute’ – meme sinis dan gambar daripada ‘Hari Hello Kitty’ di permainan besbol AS menarik 3.5 juta pengikut.

    Hello Kitty ialah lambang ‘kawaii’ Jepun, atau kuasa lembut yang comel, dan dia adalah maskot kempen yang mempromosikan etika pelancong di Tokyo.

    Poster meraikan ulang tahun ke-50 dipamerkan di taman tema Sanrio Puroland, tempat ahli perniagaan Kim Lu dari Manila membawa anak saudaranya yang berusia empat tahun semasa percutian mereka.

    “Ini benar-benar jadual perjalanan utama kami di Tokyo,” katanya.

    “Sejujurnya, kami benar-benar tidak tahu sebab kejayaan Hello Kitty yang tidak dapat dijelaskan,” kata Lu, 36. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda