Friday, April 25, 2025
24.2 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

500 peserta sertai Fun Run

Oleh Sim Y.H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Kira-kira 500 orang peserta menyertai acara Fun Run sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya ke-20, Tahun 2026 yang berlangsung hari ini.

Acara tersebut dianjurkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dengan kerjasama Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), yang bermula dan berakhir di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei.

Berkenan berangkat menyertai Fun Run berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Ahli Lembaga Eksekutif Kehormat OCA dan Presiden BDNOC.

Turut berangkat ialah His Royal Highness Prince Faisal Al-Hussein selaku Pengerusi Suruhanjaya Kesaksamaan Jantina ANOC dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Keamanan dan Sukan OCA.

Hadir sama ialah Ahli Lembaga Eksekutif OCA, Mikako Kotani OLY, serta Pengerusi Kesaksamaan Jantina OCA, Valerie Tarazi OLY.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berangkat menyertai Fun Run yang diadakan di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
Suasana semasa acara larian tersebut diadakan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

Acara dimulakan dengan ucapan daripada Naib Presiden BDNOC, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani, diikuti ucapan oleh Mikako Kotani OLY serta ucapan daripada Pengarah Perhubungan Awam dan Media, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya ke-20, Inomata Yusuhiro.

Majlis diteruskan dengan sesi pemanasan badan sebelum pelancaran rasmi Fun Run.

Mikako Kotani OLY melancarkan kategori 2.8 kilometer (km) bagi lelaki dan wanita terbuka.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara seterusnya berkenan melancarkan kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun sejauh 1.4km serta kategori orang kelainan upaya sejauh 1.4km.

His Royal Highness Prince Faisal Al-Hussein pula berkenan melancarkan kategori lelaki dan wanita veteran sejauh 1.4km serta kategori larian peserta seminar sejauh 1.4km.

Fun Run ini bertujuan bukan sahaja untuk mempromosikan negara tuan rumah, tetapi juga untuk memupuk semangat kemasyarakatan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

Acara ini turut menjadi lanjutan kepada Seminar Kesaksamaan Jantina OCA kali ke-2 yang diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Kira-kira 500 peserta yang dijemput mengambil bahagian terdiri daripada pelajar sekolah, wakil persatuan sukan, majlis-majlis sukan serta peserta antarabangsa yang menghadiri seminar tersebut.

Semua peserta menerima sijil penyertaan, manakala 10 peserta terbaik bagi setiap kategori menerima pingat yang disampaikan oleh ahli-ahli eksekutif OCA.

Fun Run ini berperanan sebagai acara pendahulu penting menjelang Sukan Asia dan mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mempromosikan sukan serta keterangkuman dalam masyarakat.

Edisi ke-20 Sukan Asia dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026 di wilayah Aichi dan ibu kota Nagoya, Jepun.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda