53.2% kanak-kanak lengkap vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Sebanyak 179 dos pertama dan 1,025 dos kedua telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, yang masing-masing menjadikan keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 81.7 peratus dan 53.2 peratus bagi dos kedua.

“Dalam pada itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin kekal sebanyak 70.9 peratus,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, sebanyak 342 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini, iaitu 339 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan tiga kes adalah hasil daripada 223 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang
lalu.

Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Brunei Darussalam setakat ini ialah 149,679 kes.

Tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5, yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU), manakala itu, satu kes dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi, ujar Yang Behormat Menteri Kesihatan.

Beliau seterusnya mengongsikan bahawa sebanyak 301 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes sembuh kepada 147,585 kes.

Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,871 kes iaitu lima kes sedang dirawat di hospital manakala 1,866 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.