Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan UNISSA
TEMBURONG 3 JAN – Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan (UKbKM), Majlis Persatuan Pelajar (MPP) sesi pengajian 2021/2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini, telah mengadakan acara Minna Ilaikum 2.0 di empat buah sekolah agama di Daerah Temburong.
Sekolah-sekolah berkenaan adalah Sekolah Ugama Semabat, Sekolah Ugama Amo, Sekolah Ugama Selangan dan Sekolah Ugama Bokok.
Minna Ilaikum 2.0 yang membawa maksud ‘Dari Kami, Untuk Kamu’ itu merupakan program yang kedua kalinya dianjurkan oleh UKbKM bersempena dengan sesi persekolahan.
Program menyalurkan bantuan barang keperluan sekolah kepada murid-murid sekolah agama tersebut selain membuka ruang kepada warga UNISSA untuk beramal dan berkongsi kegembiraan dengan menghulurkan sumbangan berupa keperluan sekolah untuk mereka yang memerlukan.
Selain itu, ia dapat menjadi sebuah platform dakwah dalam usaha untuk menanamkan sikap keprihatinan dan pemedulian kepada masyarakat luar.
Projek dijayakan melalui pengumpulan dana melalui acara larian amal semasa Sukan Tahunan UNISSA yang lalu, acara jualan makanan serta sumbangan dana dan barang-barang keperluan sekolah.
Acara pada hari tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serentak di semua sekolah yang terlibat sebelum diteruskan dengan pengagihan barang keperluan sekolah kepada 53 orang pelajar dari empat buah sekolah tersebut.
Acara pengagihan sumbangan tersebut turut dihadiri oleh Dekan Pelajar UNISSA, Dayang Nurhafizatulhikmah binti Haji Seribini.
Dengan mengadakan acara seperti itu, ia diharapkan serba sedikit dapat meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dan menyuntik semangat murid-murid yang terlibat untuk menghadiri sesi persekolahan dengan keperluan dan peralatan sekolah yang baharu.




