Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SPK kukuhkan kesejahteraan sosial pesara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang akan dilaksanakan pada Julai nanti, merupakan hasil usaha kerajaan untuk menambah baik skim pencen yang sedia ada iaitu bagi menggantikan Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP).

    Dengan adanya SPK, ia akan mengukuhkan lagi kesejahteraan sosial para ahli semasa persaraan nanti di mana skim itu akan menggunakan kaedah income replacement ratio atau pencen bulanan berdasarkan gaji pada waktu perkhidmatan yang lebih baik pada waktu persaraan nanti.

    Perkara itu diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2023) Perbekalan 2023/2024 pada hari ketiga permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Skim itu juga akan mengambil kira kadar inflasi bagi memastikan pendapatan persaraan ahli tidak terjejas pada masa akan datang serta lebih inklusif di mana ia bukan sahaja terhad kepada pekerja-pekerja di sektor kerajaan tetapi juga sektor swasta termasuk mereka yang bekerja sendiri.

    “Dalam menggalakkan pekerja supaya lebih produktif, SPK dapat memberikan manfaat yang lebih baik dengan pembayaran anuiti yang boleh mencapai sepanjang hayat.

    Gambar fail menunjukkan orang ramai yang menghadiri sesi taklimat mengenai SPK yang dijalankan oleh TAP.

    “Dalam masa yang sama, manfaat turunan bagi tanggungan-tanggungan ahli juga telah diperluaskan,” ulasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa sejak April 2022, sesi pemberigaan SPK telah disampaikan kepada hampir 13,000 orang ahli yang terdiri daripada pekerja di sektor kerajaan dan swasta di mana hasil daripada sesi berkenaan, beberapa maklum balas serta input telah diterima dengan pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan TAP telah membuat beberapa pembaikan tambahan kepada skim berkenaan untuk mengukuhkan lagi manfaat bagi ahli-ahlinya.

    “SPK yang telah dikemas kini seterusnya diberigakan melalui beberapa sesi konsultasi yang dimulakan dengan ahli-ahli yang berumur 50 hingga 59 tahun bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) sehingga 22 Mac.”

    Sesi kedua, ulas Yang Berhormat Dato, akan diteruskan di Pusat Promosi Kesihatan bermula 27 Mac hingga 21 April.

    Beliau menerangkan bahawa setakat ini, sambutan dan maklum balas daripada ahli-ahli yang hadir adalah sangat positif di mana mereka menghargai penambah baikkan berkenaan terutama sekali, mendapat anuiti semasa mereka bersara nanti.

    Yang Berhormat Dato menekankan lagi bahawa SPK akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa secara berterusan bagi setiap tiga ke lima tahun bagi memastikan ia terus relevan dan mencapai objektifnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda