Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    55 sertai program Seeds for the Future 2022 Huawei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Seramai 55 orang pelajar dari lapan buah institut pengajian tinggi di negara ini mengikuti program Seeds for the Future 2022 yang dianjurkan secara maya oleh Huawei Technologies dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) bermula hari ini.

    Program yang akan berlangsung selama lapan hari itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam, Wang Haitao dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies di Brunei Darussalam, Kevin Zhang Jianwei.

    Turut hadir pada majlis perasmian di bangunan tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD itu ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra dan Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Peserta program terdiri daripada pelajar dari UBD, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), UTB, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Politeknik Brunei (PB), Kolej Antarabangsa Micronet, Kolej Perdagangan Laksamana dan Institut KEMUDA.

    Terdahulu itu, Kevin Zhang Jianwei dalam ucapan alu-aluannya antara lain melahirkan rasa gembira melihat keberhasilan daripada program tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Dr Haji Azman, Wang Haitao dan Kevin Zhang Jianwei bersama-sama merasmikan program secara maya itu.
    Antara peserta program Seeds for the Future 2022 yang akan berlangsung selama lapan hari.

    “Dari 2015 hingga 2021, lebih 100 pelajar Brunei mendapat manfaat daripada program ini dengan beberapa pelajar siswazah bekerja dalam industri ICT yang akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem bakat ICT tempatan.

    “Huawei juga sedang meneroka cara berbeza untuk memupuk bakat ICT melalui inovasi, seperti Akademi Huawei bekerjasama dengan UTB dan telah menyaksikan lebih 40 peserta menyertai latihan, “ jelasnya lagi.

    Majlis perasmian turut mendengarkan sesi perkongsian daripada tiga alumni yang berkongsi pengalaman mengikuti program berkenaan seterusnya mendengarkan ceramah daripada Low Beng Chee mengenai Pendigitalan Pintar bagi Pendidikan.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Huawei dan UBD, sepanjang program yang akan diadakan di makmal komputer Bangunan Utama PAPRSB IHS hingga 24 Oktober itu, para peserta akan didedahkan kepada pengkomputeran awan Huawei, Internet of Things (IoT), membina dan mengkonfigurasi stesen mereka sendiri serta banyak penyelesaian canggih lain.

    Ia disampaikan melalui bengkel teknologi dan acara rangkaian di ibu pejabat Hua-wei di China di mana 30 pelajar Brunei tajaan Huawei telah mengambil bahagian secara langsung di Shenzhen dan Beijing antara 2015 dan 2019, dan 132 lagi telah menyertai antara 2020 dan 2022.

    Seeds for the Future merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) global Huawei yang telah dilancarkan pada 2008 dengan tujuan untuk membangunkan bakat ICT tempatan yang mahir dan merapatkan komunikasi antara negara dan budaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda