Sunday, December 29, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB BGIC tampilkan 2 penceramah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Persidangan Isu Global Sekolah Antarabangsa Brunei Borneo (ISB BGIC) ke-19 tahun ini, bakal dirasmikan esok di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, akan menampilkan dua penceramah utama.

    Mereka ialah Ketua Sekretariat Manpower Planning and Enmployment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dan Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Komersial Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, yang telah diperkenalkan semasa sidang media yang diadakan di Kampus ISB di Sungai Hanching, hari ini.

    Dr Hajah Siti Haziah telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan selama sembilan tahun sebelum menyertai BSP sebagai ketua pegawai perubatan, HSSE dan pengurus pengurusan krisis, dan sebagai pengurus pembelajaran dan pembangunan.

    Beliau kemudiannya mengetuai Pusat Kesihatan Panaga yang menjadi institusi kesihatan tempatan pertama yang mencapai akreditasi untuk penjagaan kesihatan berkualiti di negara ini. Sejak 1 September 2021, beliau telah dipinjamkan untuk memegang jawatan sebagai Ketua Sekretariat MPEC di bawah JPM.

    Menjadi harapan beliau untuk ISB BGIC terus memperkasa dan memberi inspirasi kepada belia bagi memainkan peranan pemacu dalam membentuk dunia dan masa depan mereka.

    Sidang media Persidangan ISB BGIC ke-19 yang diadakan di ISB. – Gambar oleh Lyna Mohamad

    “Suara bakat muda kita perlu didengari dan dicari, dan mempunyai platform seperti ISB BGIC membolehkan penyertaan yang bermakna dan suara pemimpin muda yang cemerlang kita didengari semasa kita membina masyarakat yang mampan dan berdaya tahan serta berkongsi masa depan bersama,” ujarnya pada sidang media itu.

    Manakala itu, Haji Mohamad Azmi pula telah dipinjamkan pada 2013 sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan Perkhidmatan Tenaga di Jabatan Tenaga, JPM (EDPMO) sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga & Industri) kemudian sebagai Setiausaha Tetap (Industri) dan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Industri) di Kementerian Tenaga dan Industri.

    Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Komersial BSP pada 2020, dan beliau juga telah berkhidmat sebagai timbalan pengarah urusan sejak 2021.

    Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai mewakili penaja iaitu Ketua Pendigitalan Brunei LNG, Kong Yeung Ching, dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Dynamik Technologies Sdn Bhd, Albert Wen Yau Hwong yang bercakap pada sidang media bagi pihak syarikat masing-masing.

    Ahli-ahli panel lain ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dr Stephen Kendall – Jones, penganjur ISB BGIC, Ai Ling Wong, dan setiausaha-setiausaha agung ISB BGIC, Sophie Kay dan Sneha Elizabeth Panackal.

    ISB BGIC tahun ini memfokuskan kepada Matlamat Pembangunan Mampan Ke-8 (SDG8) – Kerja yang Layak (Decent Work) dan Pertumbuhan Ekonomi.

    Mengulas tema itu, Dr Kendall – Jones berkata bahawa terdapat penyelidikan yang menunjukkan majikan mahukan lebih daripada graduan yang memasuki tempat kerja.
    “Mereka mahukan pekerja yang boleh menyelesaikan masalah dengan lebih baik, bekerja dalam pasukan, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan baik. Kemahiran ini adalah apa yang ISB BGIC kembangkan dalam diri peserta dalam simulasi persekitaran dunia sebenar. Selain itu, pelajar dapat mempertimbangkan isu-isu yang mereka, sebagai pemimpin masa depan generasi mereka, perlu tangani,” ujarnya.

    ISB BGIC ke-19 yang akan berlangsung hingga 13 Mac itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan ISB dengan melibatkan hampir 300 perwakilan dari 23 sekolah di seluruh Borneo.

    BSP dan Brunei LNG terus menjadi penaja utama ISB BGIC, manakala itu penaja lain ialah Dynamik Technologies Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam, Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd dan Butra Heidelberg Cement Sdn Bhd.

    Acara berkenaan disokong oleh TLT Enterprise, Interhouse Company, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda