Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    58 mualaf didedah ajaran Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Seramai 58 orang saudara baharu telah berjaya menamatkan Skim Bimbingan Asas Mualaf Siri Ke-198 (Perempuan) selama 14 hari mulai 6 Februari lalu dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), bagi majlis diadakan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dan unit dakwah di setiap daerah.

    Para peserta terdiri daripada 16 orang dari Daerah Brunei dan Muara, 12 dari Daerah Belait, 18 dari Daerah Tutong, dan 12 dari Daerah Temburong.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis telah diadakan di Dewan Serbaguna, PDI di mana hadir selaku tetamu kehormat dan menyerahkan sijil penyertaan ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub.

    Di Daerah Belait, majlis diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Perkembangan Ugama (IReady), Dayang Juliana @Siti Shatirah binti Haji Jailani selaku wakil Pemangku Ketua Unit Dakwah Belait.

    Di Daerah Tutong pula, majlis berlangsung di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Ketua Unit Dakwah Daerah Tutong, Dayang Zikrinaidah binti Haji Met Dikir.

    Manakala itu, bagi Daerah Temburong, ia diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Dakwah Daerah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.

    Antara objektif skim berkenaan adalah untuk memberi pendedahan yang lebih meluas tentang agama Islam terutama sekali dalam ibadat sembahyang, akidah dan akhlak dalam Islam kepada para mualaf.

    Skim berkenaan juga mengutamakan kualiti pembelajaran dan penyebaran sahsiah yang baik. Manakala pendekatan yang diambil adalah secara interaktif dan fleksibel mengikut tajuk-tajuk yang disampaikan dan dibincangkan bersama para peserta.

    Sepanjang mengikuti skim berkenaan, para peserta telah mempelajari ilmu asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah, antaranya Iqra, Hafalan, Tauhid, Fiqh, Praktikal Ibadat, Sejarah Islam, Makanan dalam Islam, Akhlak Idam Kebersihan dan Pengurusan Jenazah,

    Demi menjaga dan memelihara kemaslahatan para mualaf di negara ini, PDI telah menyediakan beberapa program bimbingan seperti Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Melayu dan Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II.

    Selain itu, Kelas Bimbingan Mualaf juga turut dibukakan secara mingguan di keempat-empat daerah termasuk Program Lawatan Tarbiyah Mualaf.

    Tetamu kehormat bergambar bersama peserta yang hadir pada majlis penutup di Daerah Belait. – Gambar oleh Daniel Lim

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda