Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Seramai 59 orang pegawai dalam Bahagian II di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima sijil Kursus Induksi semasa majlis penutup pagi tadi yang berlangsung di Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan sijil ialah Menteri Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar. Semasa majlis tersebut Yang Berhormat Menteri Pembangunan menegaskan bahawa kursus tersebut dapat memberikan para peserta maklumat asas dan baharu untuk menambah pengetahuan mereka. Beliau seterusnya menekankan akan kepentingan dan kewajipan bagi pegawai baharu berkhidmat di kementerian ini untuk setiap masa mentaati dan mematuhi setiap peraturan dan arahan yang telah digarispandukan oleh pihak kerajaan.
Kursus disertai oleh pegawai-pegawai yang terdiri daripada para pegawai yang baharu berkhidmat dalam Divisyen II di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sepanjang kursus yang diadakan selama tujuh hari bermula 28 Jun lalu, pelbagai aktiviti telah disusun di mana para peserta diberikan taklimat penerangan oleh agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan dan juga dari jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Institut Perkhidmatan Awam, Biro Mencegah Rasuah, dan Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, aktiviti Team Building juga diadakan bagi memberikan pendedahan pada para peserta kebolehan berkomunikasi dan membuat perancangan strategik serta menguji kemampuan para peserta membuat keputusan melaksanakan dan membina inisiatif kerja berpasukan untuk mencapai matlamat pasukan masing-masing.
Objektif kursus adalah untuk meningkatkan pengetahuan serta memahami tugas-tugas dan tanggungjawab kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya. Selain itu, kursus juga dihasratkan ke arah mempertingkatkan pengetahuan para peserta serta pemahaman mengenai perintah-perintah am dalam perkhidmatan awam seperti peraturan-peraturan am, peraturan-peraturan kewangan dan keselamatan kerajaan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr Norimtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; ketua-ketua jabatan; ketua-ketua bahagian dan unit di Kementerian Pembangunan.