Tuesday, November 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 atlet karate BSKA perolehi tali pinggang hitam

    Oleh: Nurdiyanah R.         

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Satu lagi tahun pencapaian yang membanggakan apabila enam atlet Sekolah Sukan Brunei Shotokan Karate Association (BSKA) memperoleh tali pinggang hitam dalam karate baru-baru ini.

    Setelah bertahun-tahun berdedikasi dan berlatih bersungguh-sungguh, Awangku Mohd Khalil bin Pengiran Kamarul Zaman, Awang Mohammad Zul Fahmi bin Roslan, Awang Mohd Sawalal bin Hamdan, Dayang Noor Batrisyia Aribah Hannazsha binti Suhardi, Awang Nur Saifullah Hazami bin Salim dan Dayang Syakirah binti Haji Ibrahim telah berjaya dalam ujian mereka dan memperoleh diploma untuk tali pinggang hitam Dan pertama atau 1st Dan Black Belt.

    Sebelum menjalani ujian tersebut, para atlet sentiasa menghadiri sesi latihan di bawah bimbingan ketua pengajar, Sensei Haji Mohammad Ishak bin Haji Abu Bakar. Sesi-sesi ini bertumpu kepada memperhalusi asas dan menyempurnakan teknik karate mereka.

    Acara pemarkahan yang diadakan di Sekolah Sukan itu berlangsung selama tiga jam dan bermula pada pukul 8 malam. Penilaian ini bukan sekadar simbol seniority melalui pangkat tali pinggang hitam tetapi juga membuktikan disiplin, pertumbuhan dan pengalaman atlet sepanjang kerjaya karate baik sebagai pengamal mahupun sebagai individu.

    Penggredan telah dikendalikan oleh Shihan Pengiran Sabri bin Pengiran Mohammad dan Shihan Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib yang kedua-duanya merupakan tokoh yang sangat disegani dalam komuniti karate.

    Enam atlet BSKA bergambar dengan sijil pencapaian. – Gambar-gambar serahan Sekolah Sukan BSKA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda