Sunday, November 24, 2024
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 jenis laksa mesti dicuba

    Oleh Patsy Kam –

    MALAYSIA – Malaysia adalah wadah tumpuan pelbagai budaya dan masakan, dan walaupun rakyat mungkin berbeza dari segi kaum, agama dan kepercayaan, mereka semua mempunyai satu persamaan – mereka amat berbangga dengan makanan mereka!

    Mungkin satu hidangan yang paling menggambarkan selera rakyat Malaysia yang suka mencuba dan menawarkan kombinasi rasa eksotik ialah semangkuk laksa yang sederhana.

    Hidangan mi yang biasanya datang bersama sup pedas, ia dianggap sebagai hidangan lengkap dengan sendirinya.

    Masam, pedas, masin dan manis – semangkuk laksa menawarkan gabungan kesemua rasa berkenaan dan kadang kala keempat-empatnya serentak.

    Setiap negeri mempunyai tafsiran sendiri tentang hidangan itu dan masing-masing mendakwa lebih baik daripada yang lain! Walaupun kita bersetuju untuk tidak bersetuju, mari kita raikan kepelbagaian laksa berikut!

    Laksam. – ANN/The Star
    Asam Laksa. – ANN/The Star
    Laksa Kari. – ANN/The Star
    Laksa Johor. – ANN/The Star
    Laksa Nyonya. – ANN/The Star
    Laksa Sarawak. – ANN/The Star

    1. LAKSAM

    Lazimnya ditemui di Kedah dan Terengganu, Laksam disajikan bersama mi beras gulung yang lebih pekat dan mempunyai rasa lembut dan berkrim. Sementara bahan-bahan untuk kuahnya adalah sama dengan asam laksa, yang terdiri daripada ikan tenggiri, santan, asam jawa, serai dan bawang kecil, hasil akhirnya lebih bersifat herba.

    Dinikmati dalam kuah warna keputihan, ia biasanya dimakan bersama ulam (sayur mentah) dan sambal. Untuk menghayati sepenuhnya hidangan ini, ada yang mengatakan sepinggan mi ini harus dimakan dengan tangan seperti orang Kelantan asli (walaupun sepasang garfu dan sudu juga boleh digunakan)!

    2. ASAM LAKSA PULAU PINANG

    Seperti namanya, sup ini jelasnya masam dan pedas dan ikan kembung biasanya digunakan sebagai asas kuahnya. Lengkuas, serai dan cili menambah rasa bersama asam jawa yang memberikan rasa masam itu. Semangkuk asam laksa tulen, dihidangkan bersama mi, hendaklah dihiasi dengan perasa segar seperti bawang, timun, bunga kantan, daun pudina dan nanas.

    Biasanya secubit har ko (pes udang) dimasukkan ke dalam sup untuk menaikkan selera umami itu. Laksa ini mungkin yang paling popular, ditemui di banyak tempat di luar Pulau Pinang dan orang ramai paling berbelah bahagi tentang cita rasanya – ada yang lebih suka manis, lebih pedas atau lebih masam – setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri yang mana lebih baik!

    3. LAKSA KARI

    Juga dikenali sebagai mi kari, ia datang bersama pilihan mi – bihun nipis, mi beras pipih atau mi telur kuning. Kuah kari berasaskan kelapa penuh berkrim adalah pekat dan memberikan rasa kompleks. Hiasan seperti tau pok (tofu puff), kacang panjang dan taugeh bersama kerang membuatkan hidangan ini tidak dapat ditolak.

    Protein disediakan dalam bentuk potongan isi ayam dan kek ikan, malah ada gerai yang menambah yong tau fu (tauhu sumbat).

    Walaupun kebanyakan negeri menawarkan versi ini, Kuala Lumpur nampaknya telah mendakwa laksa ini sebagai miliknya.

    4. LAKSA SARAWAK

    Hidangan dari Sarawak ini sering diingati sebagai semangkuk laksa kegemaran cef selebriti Anthony Bourdain, yang digelarnya sebagai ‘Sarapan dewa’.

    Apa yang membezakannya daripada yang lain adalah kuahnya yang unik yang diperbuat daripada sambal belacan, santan, asam jawa, serai, herba dan rempah ratus dan ia mempunyai sedikit rasa masam dan aroma berempah.

    Dilengkapi dengan hirisan telur dadar, daging ayam, udang rebus tanpa kulit, daun ketumbar dan taugeh yang dihiris, ia dihidangkan bersama bihun atau mi kuning buatan tangan. Kuahnya agak berbeza dengan jenis laksa yang lain kerana ia tidak mempunyai rasa kari langsung.

    5. LAKSA NYONYA

    Kuah berasaskan santan kelapa ini mempunyai persamaan dengan laksa kari, tetapi lebih kaya dan lebih pekat. Tidak hairanlah laksa Nyonya juga dipanggil laksa lemak (laksa santan).

    Berasal dari Melaka, Laksa Nyonya juga mempunyai ciri-ciri asam laksa kerana ia mempunyai rasa masam. Sumbangan daripada masyarakat Peranakan, resipinya adalah gabungan bijak masakan Melayu dan Cina, sekali gus menawarkan yang terbaik dari kedua-dua dunia.

    6. LAKSA JOHOR

    Apa yang unik tentang Laksa Johor ialah mi spageti digunakan sebagai ganti mi beras atau mi telur. Bahan-bahannya tidak jauh berbeza dengan yang digunakan dalam asam laksa Pulau Pinang.

    Selain itu, terdapat santan, ikan, udang kering, herba segar, rempah ratus dan kerisik (kelapa kering panggang).

    Kuah yang berwarna jingga kemerah-merahan agak pekat dan sedikit sambal pedas adalah satu kemestian untuk menambah lagi rasa oomph itu. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda