JAKARTA, 1 OGOS – Indonesia telah menghantar bantuan kecemasan ke wilayah paling timur, Papua, di mana kemarau telah meragut enam nyawa, termasuk seorang anak damit dan mengakibatkan ribuan penduduknya tanpa air sejak Jun, kata pegawai hari ini.
Pegawai bencana menyalahkan fenomena cuaca El Nino yang dikaitkan dengan peningkatan suhu global bagi kemarau dan cuaca sejuk melampau yang turut menyaksikan tanaman terjejas serta tiada akses air di kawasan Pucak, Papua Tengah.
Adriana Alla, pegawai kanan kementerian hal ehwal sosial dalam satu kenyataan mengatakan, depot penyimpanan di bandar Timika dan Lapangan Terbang Sinik kosong kerana ‘semua bantuan telah diagihkan.’
Sejumlah 17.1 tan bantuan telah dihantar ke kawasan miskin, tambahnya, termasuk ribuan paket mi segera dan ratusan khemah dan selimut.
Menurut Alla, kawasan paling teruk terjejas sukar dimasuki kerana keadaan cuaca yang teruk.
Agensi mitigasi bencana kebangsaan Indonesia (BNPB) kelmarin mengatakan kemarau itu telah menjejaskan lebih daripada 7,500 orang.
Kira-kira enam maut akibat kebuluran dan dehidrasi, kata pegawai. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P10-B_02082023.jpg)