Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    6 pelajar berbakat wakili negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Enam orang pelajar dan seorang guru telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam 12th Online ASEAN+3 Student Camp for the Gifted in Science dan 14th Online ASEAN+3 Teacher Workshop for the Gifted in Science yang dianjurkan oleh ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS) dan Korea Foundation for the Advancement of Science and Technology (KOFAC), baru-baru ini.

    Penyertaan mereka diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), manakala itu, perkhemahan dan bengkel secara maya yang berlangsung selama lima hari, 7, 8 dan 13 hingga 15 Januari lalu itu dibiayai oleh Ministry of Science and ICT, Republik Korea dan disokong oleh ASEAN Secretariat dan Society of International Gifted in Science, Republik Korea.

    Pelajar-pelajar berkenaan dibahagikan kepada dua pasukan di bawah penyeliaan pegawai pendidikan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Haji Eddy Masirwan bin Haji Dolah.

    Pasukan Brunei A diwakili oleh pelajar-pelajar Tahun 10 dari Maktab Sains, iaitu Awangku Mohd Aiman Basyir bin Pengiran Mas Zaimuliani, Joshua Hung Ji Chien dan Lee Jing Jing.

    Manakala Pasukan Brunei B pula diwakili oleh Ting Pei Tong, pelajar Tahun 11 dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan; Dayang Rabi’atul Nur Qistina Aqilah binti Juperi dan Awang Arsh Hannan Qays bin Haji Suhardy, kedua-duanya pelajar Tahun 10 dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

    Antara yang mengambil bahagian dalam bengkel secara maya yang dianjurkan oleh ACGS dan KOFAC, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, program kali ini masing-masing membawa tema Learning Together through Online Inquiry dan Preparing Students for the Future.

    Semasa 12th Online ASEAN+3 Student Camp for the Gifted in Science, kedua-dua pasukan negara masing-masing telah memenangi pingat gangsa bagi Anugerah Pembentangan Terbaik dan Pasukan Brunei A pula telah memenangi Anugerah Malam Kebudayaan di mana video persembahan yang mengenalkan budaya Negara Brunei Darussalam terpilih sebagai video terbaik oleh pelajar dari negara lain.

    Bagi kategori perseorangan pula, Ting Pei Tong sebagai penerima pingat bagi Anugerah Pelajar Cemerlang manakala Joshua Hung Ji Chien terpilih sebagai penerima pingat bagi Anugerah Pertandingan Maskot.

    Melalui program berkenaan, para pelajar turut berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti dan sesi seperti mendengarkan ucaptama daripada speaker yang diundang, mengikuti kuliah dan perbincangan secara dalam talian dan juga terlibat di dalam perbincangan sebagai persiapan untuk sesi pembentangan pelajar.

    Para pelajar juga mengongsikan dua video persembahan yang mengenalkan budaya Negara Brunei Darussalam. Selain itu, para guru turut berkesempatan menghadiri seminar, berbincang dan mendapatkan idea baharu berkaitan pendidikan di samping menjalinkan rangkaian persahabatan dalam kalangan pendidik di rantau ASEAN+3 melalui perkongsian maya tersebut.

    Pelajar-pelajar yang mewakili negara merupakan peserta dalam program pra-perkhemahan iaitu 2nd Global Online Science Camp yang telah diadakan secara dalam talian pada 27 Ogos hingga 15 Oktober 2022.

    Semasa program pra-perkhemahan tersebut, pelajar-pelajar Pasukan Brunei A (dalam acara berkumpulan) dan Ting Pei Tong dari Pasukan Brunei B (dalam acara persendirian) masing-masing berjaya merangkul pingat emas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...