Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah berlangsung selama dua hari iaitu pada hari ini sehingga esok pagi di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pada petang tadi, tiga orang peserta iaitu dari Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia telah memperdengarkan hafazan masing-masing bagi Kategori menghafaz 10 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 10.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis turut dihadiri oleh Kuasa Usaha Sementara Republik Indonesia; Timbalan Pesuruhjaya Republik Singapura; dan Menteri (Penerangan) Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.
Juga hadir ialah para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal ugama (KHEU) dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Haji Mohd Albi bin Haji Ibrahim,
selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara-negara Anggota MABIMS, yang diadakan dua tahun sekali ini, dapat dilaksanakan pada tahun ini setelah tertangguh perlaksanaannya selama beberapa tahun semasa dunia dilanda wabak koronavirus.
“Musabaqah kali ke-7 ini merupakan komitmen dan kerjasama erat di antara Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS selaku Sekretariat MABIMS Brunei.
“MABIMS bergerak atas dasar komitmen dan kebersamaan untuk mencapai kecemerlangan dalam menjaga kemaslahatan umat Islam di rantau ini dan menjadikan Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin.
“Ini didukung dengan Rancangan Strategik yang fokus dan relevan di masa kini; dan Rancangan Strategik 2021-2025 yang terkini mengutarakan empat fokus strategik iaitu Pendidikan dan Penghayatan Beragama, Kesejahteraan Sosial, Potensi Belia dan Keharmonian Serantau,” jelas Haji Mohd Albi lagi.
Pada masa yang sama beliau juga mengongsikan bahawa program bersifat mengukuhkan pengamalan dan penghayatan Al-Quran adalah merentasi kesemua fokus strategik rancangan strategik MABIMS, di mana musabaqah ini adalah satu sentimen dan semangat perpaduan serta kerjasama yang erat di kalangan negara-negara anggota MABIMS.
Kerjasama-kerjasama yang dimaksudkan, tambahnya lagi dilaksanakan bukan sahaja atas platform konvensional seperti permesyuaratan dan bengkel-bengkel malah ia diadakan berbentuk pertandingan atau musabaqah yang sihat di antara kesemua negara anggota MABIMS.
Pada tahun ini, enam orang peserta dari Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia ikut serta dalam musabaqah ini.
Dua kategori dipertandingkan iaitu kategori pertama, Menghafaz 30 Juz Al-Quran bermula dari Juz 1 hingga Juz 30 berserta pemahaman Juz 24 bagi yang berumur 40 tahun ke bawah; dan kategori kedua, Menghafaz 10 Juz Al-Quran bermula Juz 1 hingga Juz 10 berserta Pemahaman Juz 10 bagi yang berumur 20 tahun ke bawah.
Majlis disambung esok bagi musabaqah Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 24.
Sementara itu, pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah-hadiah Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya bagi Negara-negara Anggota MABIMS akan diadakan pada Majlis Sambuta n Nuzul Al-Quran Peringkat Negara nanti.