Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Ibadah Korban di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.
Majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Penerbangan Awam berkenaan itu turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Majlis juga diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Pengorbanan: Bukan Sekadar Apa Tapi Kenapa’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II dari Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abd Majid.
Sembilan ekor lembu telah dikorbankan pada tahun ini dan daging-daging korban diagihkan setelah selesai acara majlis berkenaan kepada peserta-peserta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan- jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa.
Sebahagian daging korban diagih-agihkan kepada 60 orang penerima daripada golongan asnaf fakir dan miskin di bawah tadahan Kawasan Mukim Berakas, Daerah Brunei dan Muara.
Penerima-penerima juga termasuk kakitangan-kakitangan di dalam Divisyen 5 bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya.