Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kira-kira 60 orang murid Sekolah Rendah Sungai Siamas telah menyertai Bengkel Origami (kraf kertas Jepun) anjuran Kedutaan Jepun yang berlangsung di dewan sekolah tersebut, pagi tadi.
Hadir menyertai sesi tunjuk ajar semasa berlangsungnya bengkel berkenaan ialah Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru bersama kakitangan kedutaan berkenaan.
Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan ringkas, TYT Maeda Toru antaranya merakamkan kegembiraan kerana diberi peluang menganjurkan bengkel berkenaan bagi sama-sama berkongsi pengetahuan dan kemahiran salah satu seni dan budaya tradisional Jepun khususnya origami kepada golongan murid di negara ini.
Bengkel yang melibatkan murid-murid Tahun 3, 4 dan 5 telah dikendalikan oleh Awang Fauzan selaku kakitangan kedutaan.
Beliau mengetengahkan teknik-teknik asas yang terperinci bagi menghasilkan beberapa reka bentuk penuh kreatif seperti kartun Pokemon, katak, kupu-kupu, bunga dan sebagainya.
Turut hadir menyertai bengkel berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Rendah Sungai Siamas, Dayang Nur Asnawati binti Haji Mohd Yassin serta guru-guru kelas murid yang terlibat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata kepada TYT Maeda Toru yang diserahkan oleh guru besar sekolah tersebut sebelum berakhir dengan sesi bergambar ramai.




