Oleh Daniel Lim
BELAIT, 28 JULAI – Bagi menekankan kepentingan untuk mempelajari asas pertolongan cemas untuk menyelamatkan nyawa, seramai 60 orang ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait telah berjaya menamatkan Kursus Asas Ulang Kaji Pertolongan Cemas, baru-baru ini.
Kursus diadakan di ibu pejabat persatuan itu di Jalan Maulana, Kuala Belait dan dianjurkan dengan kerjasama Perkhidmatan Kecemasan Ambulan Perubatan (EMAS), Hospital Suri Seri Begawan (SSB).
Antara tujuan kursus tersebut diadakan adalah untuk mengemas kini pengetahuan berkaitan pertolongan cemas dalam pelbagai modul praktikal di kalangan ahli persatuan.
Semasa kursus tersebut, Ketua EMAS Hospital SSB, Haji Mohd Shahrin bin Haji Jumat menekankan kepentingan tindak balas segera terhadap kecemasan dapat membantu meningkatkan peluanghidup yang besar dan kursus tersebut juga diadakan bagi memastikan setiap tindak balas dilakukan dengan betul dan berkesan.
Antara latihan yang diadakan sebagai sebahagian daripada kursus termasuk taklimat untuk ahli persatuan mengenai bagaimana menggunakan pembalut, alat sokongan dan menggunakan usungan untuk pesakit. Manakala sesi praktikal telah disampaikan oleh 10 orang ahli paramedik dari Hospital SSB.
Hadir menyaksikan kursus tersebut ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili. Turut hadir ialah ketua-ketua pengakap, penolong ketua pengakap dan ahli-ahli pengakap dari beberapa buah kumpulan di seluruh Daerah Belait.
Pengakap Belait berharap kursus tersebut akan dapat melengkapkan pengetahuan asas pertolongan cemas di kalangan ahlinya serta meningkatkan keyakinan dalam memberikan tindak balas semasa situasi cemas.
