Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU
TEMBURONG, 4 APRIL – Kira-kira 600 kilogram (kg) daging ayam yang dipercayai diseludup ke negara ini telah ditemui di kawasan Kampung Puni, Daerah Temburong pada 2 April lalu kira-kira jam 7:35 pagi.
Kesemua daging ayam yang mengandungi 85.2kg sayap ayam dan 515.5kg tongkeng ayam telah dirampas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Penemuan daging ayam ini adalah hasil maklumat yang diterima oleh pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (cawangan Temburong), Jabatan Hal Ehwal Syariah mengenai longgokan besar bungkusan daging yang ditemukan di kawasan tersebut.
Pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas perkongsian maklumat berhubung penemuan daging-daging yang diragui kehalalannya demi menjaga kepentingan masyarakat Islam di negara ini.
Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.
Sehubungan dengan itu, pihak KHEU juga ingin mengingatkan mana-mana syarikat yang hendak membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam supaya mendapatkan Permit Import Halal daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), di samping memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi lain berkaitan pengimportan daging halal.
Perkara ini adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di negara ini khususnya kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya.
Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa bekerjasama bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.
