Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-21, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir, dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah pegawai perbarisan, 1273 Kapten (U) Muhd Shah Redzuan bin Haji Mat Serudin yang kemudiannya disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.
Semasa upacara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, sejurus sebelum mengurniakan anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik.
Ia didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Awang Muhd Asyraf bin Haji Amin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti London South Bank, United Kingdom (UK). Ia merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan kepada pegawai kadet, dan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.
Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Wan Afifi bin Wan Ali, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), yang berkelulusan Sarjana dalam Logistik dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Ia dikurniakan berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan dijalankan.
Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Mohammad Norhafiz bin Mohd Sani, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Shariah (Fiqh & Judiciary) dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan dipilih berdasarkan kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.
Manakala itu, Pegawai Kadet (U) Haji Mohammad Nasrullah bin Haji Mohammad Hidin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Matematik dari UBD pula telah menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang pegawai kadet tersebut dalam latihan jasmani.
Selesai pengurniaan anugerah-anugerah berkenaan, sembah ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ dilaungkan tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya menerima pesambah yang bertemakan ‘Nahwa Attafawuq’ yang membawa maksud ke arah kecemerlangan.
Baginda seterusnya berkenan menghadiri majlis junjung ziarah daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing, sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
Seramai 64 orang pegawai kadet yang terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita telah ditauliahkan pada majlis itu, yang mana 31 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 14 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai TLDB dan 19 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
Sovereign’s Parade merupakan acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi OCS ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.
Latihan selama 48 minggu itu telah bermula pada 14 Februari 2022, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.