Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Orang ramai kini berpeluang membeli kuih-muih raya semasa acara jualan yang dirasmikan hari ini di Dewan Riadah Pusat Belia di ibu negara sehingga 19 April depan.
Jualan kuih-muih raya itu menampilkan 65 peserta yang terdiri daripada kumpulan belia iaitu ahli-ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negara Brunei Darussalam, Pusat Pembangunan Belia (PPB), ahli-ahli Kelab Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara dan ibu-ibu tunggal.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan jualan tersebut ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim dan mengunjungi petak-petak jualan.
Dengan adanya jualan seumpama berkenaan, ia dihasratkan dapat memberikan peluang kepada belia yang berminat dalam bidang keusahawanan khususnya dalam pembuatan kuih-muih untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, ia juga menjadi penggalak untuk memperkembangkan potensi serta kemahiran diri seterusnya mempromosikan jenama kuih-muih dan mencari peluang menjadi pelanggan tetap dan menjadi sumber pendapatan.