Friday, February 28, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    68 anak yatim dan daif terima sumbangan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Seramai 68 orang anak yatim dan golongan daif telah menerima sumbangan pada majlis yang dianjurkan oleh Bekas Penuntut-penuntut Brunei Asrama Kerajaan Brunei di Singapura (AKBS) di Dewan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.

    Timbalan Pengerusi Majlis, Haji Mohd Don bin Haji Omar selaku wakil pengerusi majlis menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan sedekah yang disampaikan kepada anak-anak yatim dan golongan daif pada majlis itu dan sumbangan jamuan berbuka puasa.

    Beliau berharap agar sebarang sumbangan tersebut dapat dipergunakan untuk keperluan termasuk dalam menyambut Hari Raya yang akan menjelang tiba.

    “Alhamdulillah, pada tahun ini acara penyampaian sedekah dan sungkai dapat dikendalikan oleh kumpulan tahun 1972 dengan tunjuk ajar dan panduan kekanda ahli-ahli senior,” ujarnya.

    Majlis berkenaan merupakan acara tahunan alumni AKBS yang telah diadakan untuk kali ketujuh.

    Menurut Haji Mohd Don, usaha tersebut adalah atas rasa setiakawan dan persaudaraan yang telah terjalin antara ahli-ahli alumni AKBS.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dikhususkan untuk memperingati rakan-rakan mereka yang telah meninggal dunia dan juga penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan golongan daif oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan majlis berbuka puasa.

    Tetamu kehormat menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim.
    Haji Mohd Don semasa menyampaikan ucapannya selaku wakil pengerusi majlis.
    Sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda