Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Sebanyak 1,738 dos pertama vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 30,948 dos iaitu 72.1 peratus.
“Manakala, sebanyak 1,352 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada golongan berkenaan yang menjadikan jumlah keseluruhan dos kedua yang diberikan kepada 8,542 dos iaitu 20.1 peratus,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku wakil menteri kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Sementara itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin adalah pada kadar 68 peratus,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Menurut beliau, sebanyak 270 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, iaitu 268 kes hasil ujian ART dan dua kes adalah hasil daripada 280 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini ialah sebanyak 144,136 kes.

Beliau kemudiannya menyatakan tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).
Manakala satu kes dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
Menurutnya lagi, sebanyak 145 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah keseluruhan yang sembuh sebanyak 142,318 kes.
Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,598 kes iaitu 16 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,582 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Dalam sidang media tersebut, Yang Berhormat Pehin turut memaklumkan bahawa satu kes COVID telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam yang lalu, di mana kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID.
Di kesempatan itu, beliau mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.
“Marilah kita terus berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa terpelihara daripada segala musibah dan bencana wabak penyakit,” seru Yang Berhormat Pehin di hujung kenyataannya. Beliau berdoa semoga kita sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT jua.