Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    68 terima sijil LNCP

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Seramai 68 orang telah menerima sijil dalam Majlis Akreditasi Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (LNCP) bagi Lead Trainer, Senior Coaches dan Coaches bagi tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyerahkan sijil ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Para penerima yang terdiri daripada tiga orang lead trainer dan 16 orang senior coach dari Kementerian Pendidikan, dua orang senior coach dari Kementerian Hal Ehwal Ugama manakala 45 orang coach dari Kementerian Pendidikan dan dua orang coach dari Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menerima sijil dan lapel pin masing-masing pada majlis tersebut.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Pelajaran dari Sekolah Arab Temburong, Awang Muhammad Abdul Hadi bin Haji Bagol diikuti oleh ucapan alu-aluan oleh Ketua LNCP, Kementerian Pendidikan, Dayang Fatmah binti Haji Besar.

    Dayang Fatmah antara lain menjelaskan bahawa pengiktirafan lead trainer telah meningkat daripada lima orang kepada lapan orang, manakala coach meningkat daripada 146 orang kepada 193 orang.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan sijil dan lapel pin kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis tersebut.
    Haji Zulfadhli semasa ditemu bual media.

    Peningkatan ini, jelasnya, hampir mencapai hasrat Kementerian Pendidikan dalam memastikan setiap sekolah mempunyai seorang pembimbing literasi dan seorang pembimbing numerasi bagi menyokong pengajaran berasaskan penguasaan atau Teaching for Mastery (TfM).

    Selain itu, pembimbing ini adalah pakar rujuk kepada sekolah dalam hal pengajaran dan pembelajaran literasi Bahasa Inggeris dan Matematik.

    “Peranan utama lead trainer adalah memastikan latihan profesional bimbingan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

    “Bagi senior coach pula, peranan utama mereka adalah melaksanakan aktiviti mentoring bagi para coach dalam membantu dan menyokong peningkatan kualiti serta standard bimbingan yang dilaksanakan.

    “Manakala coach pula berperanan dalam membantu sekolah bagi meningkatkan tahap literasi dan numerasi melalui pelaksanaan latihan profesional di sekolah dan bimbingan secara one-to-one kepada rakan pembelajaran,” tambah Dayang Fatmah.

    Majlis diserikan dengan beberapa pembentangan secara virtual yang disampaikan oleh Lead Trainer dari BDLTA, Awang Ade Shahren bin Haji Suhaili; Senior Coach dari Kluster 5, Dayang Nur Zurina binti Abdullah Langkan dan Coach dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri Kluster 2, Dayang Nurul Atikah binti Madani yang membawakan tajuk Embedding TfM through Coach Training, Embedding TfM at Cluster Level, dan Embedding TfM at School Level.

    Majlis tersebut bertujuan memberi pengiktirafan kepada pegawai-pegawai dan tenaga-tenaga pelajar yang berjaya dalam latihan sebagai lead trainer, senior coach dan coach dengan meraikan bersama pencapaian mereka, di samping memberi motivasi dan menaikkan semangat mereka dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

    Salah seorang penerima sijil semasa ditemui menyatakan bahawa penyertaan beliau dalam LNCP telah memberi pengalaman yang sangat bermakna, di samping menimba ilmu pengetahuan baharu dan berani mencuba idea-idea baharu.

    “LNCP telah menyediakan ruang bagi saya untuk menjadi lebih profesional dalam pelajaran dan pembelajaran. Ilmu yang diperoleh bukan sahaja bermakna bagi diri saya bahkan juga untuk guru-guru yang mengikuti program ini,” jelas Haji Zulfadhli dari Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, Temburong, Kluster 1.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda