Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Tujuh warga asing telah ditahan kerana didapati terlibat dengan beberapa kesalahan imigresen dalam Operasi Sakat yang menyasarkan empat lokasi di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), hari ini, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU) JIPK pada 9 Januari di kawasan Mukim Sengkurong telah menahan dua lelaki warga asing.
Sewaktu pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai BPU JIPK, seorang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (3) peraturan-peraturan imigresen iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport iaitu jawatan amah bekerja sebagai penjual ikan.
Manakala seorang lagi melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (2) peraturan-peraturan imigresen iaitu bekerja tidak bersama majikan asal.
Sementara itu, operasi sama yang dijalankan pada 12 Januari telah menyasarkan tiga lokasi iaitu di pondok kebun di Mukim Pengkalan Batu, rumah sewa di Mukim Kilanas dan bilik sewa di Mukim Berakas A.
Semasa pemeriksaan di pondok kebun, pegawai-pegawai BPU JIPK telah memeriksa lima lelaki warga asing yang mana dua daripadanya telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK setelah dipercayai menyalahi kesalahan Bab 15 (1) di bawah Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa dan seorang warga asing tersebut dilaporkan sebagai pekerja lari daripada majikan.
Sasaran kedua di rumah sewa pula, dua warga asing telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK untuk siasatan lanjut setelah gagal menunjukkan dokumen asal yang sah.
Seorang daripadanya dipercayai menyalahi kesalahan Bab 15 (1) di bawah Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa.
Manakala di bilik sewa Mukim Berakas A, BPU JIPK turut menahan seorang warga asing untuk siasatan lanjut kerana didapati tinggal lebih masa di negara ini.
Dalam pada itu, JIPK mengingatkan mana-mana majikan boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.
Manakala, mana-mana warga asing yang telah diambil tindakan, pas imigresen dibatalkan dan diusir, nama-nama mereka boleh disenaraihitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan dengan itu, JIPK mengalu-alukan orang ramai memberikan maklumat pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.