Tuesday, November 19, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 lelaki disyaki bom ikan ditahan

    LABUAN, 11 DIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan tujuh lelaki termasuk enam warga asing dipercayai terbabit aktiviti mengebom ikan di kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat laut perairan Tanjung Kubong, Sabtu lepas.

    Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Izwanhadi Idros berkata, mereka yang dinaiki sebuah bot induk dan diiringi sebuah sampan ditahan kira-kira 12 tengah hari menerusi satu operasi khas, Op Vernon dengan kerjasama Jabatan Perikanan Labuan.

    Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang tekong warga tempatan berusia 40 tahun dan enam kru warga asing berusia lingkungan 25 hingga 61 tahun, dengan dua daripadanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Hasil pemeriksaan, tekong berkenaan gagal mengemukakan lesen bot dan lesen perikanan yang sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Izwanhadi pemeriksaan lanjut terhadap bot menemukan 300 kilogram ikan pelbagai spesies, 300 kilogram hasil laut yang telah dikeringkan serta beberapa alat mengebom ikan.

    Beliau berkata kesemua lelaki berkenaan, bot serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda