Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa dua lagi kes baharu jangkitan COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kepada 131 orang.
Pada masa yang sama, tujuh lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah yang membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 52 orang.
Perkara itu juga bermakna bahawa terdapat 78 kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan dan daripada jumlah itu, tiga orang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di mana salah seorang daripada mereka masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO), manakala itu selebihnya dalam keadaan yang baik.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa kanak-kanak yang berumur dua tahun iaitu kes 34, sembilan bulan iaitu kes 40 dan tiga tahun iaitu kes 62 telah sembuh dan pulang ke rumah masing-masing.
Manakala itu, kanak-kanak lain masih berada di pusat pengasingan dan dalam keadaan baik.
Terdahulu dalam kenyataannya, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kes 130 ialah seorang lelaki berumur 39 tahun dan salah seorang warga tempatan yang telah menyertai Kalimantan Bike Week bersama 32 orang rakannya yang telah menjalani pengasingan diri sejak pulang ke negara ini pada 16 Mac lalu.
Beliau telah menghidap batuk yang berpanjangan dan telah menjalani ujian makmal bagi COVID-19 pada 30 Mac.
Sementara itu, kes 131 ialah seorang lelaki berumur 28 tahun yang telah menjalani pengasingan diri sejak pulang ke negara ini dari Amerika Syarikat melalui Singapura dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI424 (tempat duduk 28A) pada 16 Mac. Beliau mula mengalami sesak nafas ringan pada 21 Mac dan beliau hanya menjalani ujian makmal bagi COVID-19 pada 30 Mac 2020 setelah sesak nafas beliau semakin teruk.
Yang Berhormat Dato seterusnya berkongsi bahawa pada masa ini, seramai 692 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala itu, seramai 1,588 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.
Sejak awal Januari, sebanyak 6,799 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.
Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga memaklumkan orang ramai bahawa pada hari ini, pengambilan sampel untuk ujian makmal bagi COVID-19 bagi kesemua mereka yang telah pulang ke tanah air selepas membuat perjalanan antarabangsa dan sedang menjalani pengasingan diri di fasiliti yang disediakan oleh kerajaan, telah selesai dijalankan.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan ingin mengetahui mengenai perkembangan terkini, boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi, healthinfo.gov.bn.