Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Daripada 31 buah syarikat yang telah diberikan amaran, tujuh dikenakan denda kompaun kerana tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa dan melanggar Peraturan-peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 iaitu meletakkan, menggunakan, menghalang, mempamerkan barang-barang di kawasan kaki lima dan petak letak kenderaan termasuk driveway yang boleh mengundang bahaya akibat keadaan kawasan yang licin serta kotor.
Di samping itu, ia juga mengakibatkan pengurangan jumlah petak letak kenderaan, mengganggu pejalan kaki di kawasan kaki lima yang sepatutnya sentiasa bersih dan cantik.
Kegiatan seperti itu juga telah menjejaskan nilai estetik dan kecantikan kawasan perniagaan di negara ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), di sini, kesalahan-kesalahan berkenaan telah dikenalpasti semasa Operasi Kemas (OPKEMAS) yang dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, JPBD di Daerah Brunei dan Muara pada 10 dan 11 Mac.
Kenyataan menyatakan denda bagi setiap kesalahan adalah berjumlah tidak melebihi $500.
Syarikat-syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda-denda tersebut.
Pihak Autoriti Perancang melalui JPBD, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang ramai, pemilik-pemilik dan para pengusaha bangunan perniagaan dan perusahaan untuk sama-sama mematuhi undang-undang perancangan dan bertanggungjawab bagi memastikan keindahan, kebersihan serta keselamatan kawasan perniagaan di negara ini sentiasa dijaga.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline JPBD di talian 8200222.