Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Empat qari dan empat qariah mara ke peringkat akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M setelah mendapat markah tertinggi dalam peringkat separuh akhir yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, hari ini.
Seramai 20 qari dan tujuh qariah telah memperdengarkan bacaan mereka dalam musabaqah separuh akhir berkenaan yang diadakan dalam dua sesi, 17 peserta pada sesi pagi dan 10 peserta pada sesi petang.
Peserta qari yang mara ke peringkat akhir ialah Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid, Awang Ahmad Termizie bin Ahmad Baihakie, Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib dan Haji Hazwan bin Haji Salim.
Sementara itu, peserta qariah ialah Dayang Nur Amal Atiqah@Aida binti Haji Sudirman, Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar, Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abdul Rajid dan Dayang Siti Nurnabilah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman.
Hadir selaku tetamu khas pada sesi pagi ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Pada sesi petang, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil peringkat saringan dan peringkat separuh akhir musabaqah di samping pengumuman keputusan musabaqah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri sebagai johan menunggu dan lapan orang peserta akan bertanding dalam peringkat akhir yang akan diadakan pada 9 Jun depan di Dewan PM Dato Shariffuddin, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M Peringkat Akhir nanti secara langsung melalui akaun rasmi Facebook dan Instagram Jabatan Belia dan Sukan.