Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    8 terima pingat, 59 terima hadiah buku UNISSA

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Lapan orang menerima Pingat Universiti dan 59 lagi menerima hadiah buku bagi pelbagai kriteria sempena Hafl Al-Takharruj ke-12 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari.

    Majlis penyampaian pingat dan hadiah buku berkenaan berlangsung di Dewan Serambi Suloh, Tarindak D’Seni, hari ini, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan dan pengerusi majlis UNISSA, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dalam ucapannya selaku pengerusi jawatankuasa bersama majlis berkata, UNISSA lazimnya menyediakan empat jenis pingat iaitu Pingat Canselor, Pingat Pro Canselor, Pingat Rektor dan Pingat Universiti.

    Pada waktu sama, UNISSA juga menyediakan hadiah buku bagi empat kategori iaitu hadiah buku bagi tahun akhir, hadiah buku selain daripada tahun akhir, hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Al-Quran (aliran Arab dan Inggeris) dan hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Melayu Islam Beraja.

    Beliau menambah, kesemua pingat dan hadiah buku berkenaan mempunyai kriteria masing-masing.

    Secara umumnya, kriteria dinilai bukan sahaja dari sudut kecemerlangan dalam akademik, aktiviti serta khidmat masyarakat, bahkan yang paling penting adalah kecemerlangan sahsiah.

    Menurutnya lagi, kesungguhan, kegigihan dan kerja keras pelajar disertai dengan sokongan, bimbingan, tunjuk ajar dan doa para ibu bapa dan tenaga pengajar terbukti berbaloi dan mendatangkan hasil yang menguntungkan di mana UNISSA mengiktiraf kejayaan mereka menerusi penyampaian pingat dan hadiah.

    “Kejayaan yang dikecapi ini bukanlah pengakhir perjuangan bahkan ia merupakan titik permulaan kepada kejayaan-kejayaan mendatang yang lebih hebat. Dengan kejayaan ini, saya pasti graduan akan lebih gigih berusaha dan sentiasa bersedia dengan cabaran yang menanti di luar sana,” ujarnya.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyempurnakan penyampaian pingat dan hadiah buku kepada salah seorang penerima.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan pihak pengurusan UNISSA bergambar ramai bersama penerima pingat dan hadiah buku.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...