Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    90.8 peratus perolehi tiga A peperiksaan G.C.E A LEVEL

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ Level Oktober/November 2021 pada hari ini.

    Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ Level Oktober/November 2021 dilaksanakan buat pertama kalinya secara kaedah alternatif iaitu School Assessed Grades (SAG). 

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, seramai 1,371

    calon yang terdiri daripada calon sekolah Tingkatan Enam Atas sahaja telah menduduki peperiksaan pada sesi Oktober/November 2021 di mana jumlah calon itu, menurun sebanyak 6.48 peratus berbanding pada 2020.

    Pencapaian calon di peringkat sekolah yang memperolehi sekurang-kurangnya tiga A adalah 1,245 calon atau 90.81 peratus.

    Sementara yang memperolehi sekurang-kurangnya dua A level adalah seramai 1,342 calon iaitu 97.88 peratus dan calon yang memperoleh satu A Level adalah 1,364 iaitu 99.49 peratus.

    Seramai 307 calon sekolah telah memperolehi gred A*/A ke atas dalam dua hingga empat mata pelajaran.

    Seramai 17 orang calon sekolah memperolehi Gred A*/A dalam empat mata pelajaran, sejumlah 132 calon mendapat Gred A*/A dalam tiga mata pelajaran dan 158 calon telah memperolehi Gred A*/A dalam dua mata pelajaran.

    Kenyataan menyatakan lanjut bahawa dua mata pelajaran yang mencapai 100 peratus lulus gred A-C ialah Further Mathematics dan Physical Education. 

    Manakala itu, lapan mata pelajaran telah mencapai 100 peratus lulus gred A-E iaitu Bahasa Melayu, Further Mathematics, History (kod 9389), Travel and Tourism, Physical Education, Art and Design, History (kod 9489) dan Design and Technology.

    Dengan pengeluaran keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ Level Oktober/November 2021 ini, penuntut-penuntut yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing pada waktu sekolah.

    Bagi calon-calon yang berhasrat untuk memperbaiki pencapaian keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E ‘AS’ dan ‘A’ Level, pendaftaran bagi blan Mei/Jun 2022 masih dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran bagi calon persendirian ialah pada 14 Februari depan.

    Calon-calon juga hendaklah mengambil perhatian tarikh tutup pendaftaran bagi yang mendaftar di sekolah hendaklah merujuk kepada guru yang berkenaan di sekolah masing-masing.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...