KUALA LUMPUR, 4 APRIL – Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik amat berharap untuk disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris Mei ini dan ketika ini status mereka masih belum diketahui.
Menurut Aaron, tersenarai dalam program RTG boleh membantu mereka memperbaiki prestasi yang kebelakangan ini dilihat kurang memuaskan dalam beberapa kejohanan disertai baru-baru ini.
“Sebelum ini, memang ada berbincang dengan Michael (Bendahari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Michael Tang Vee Mun) untuk kita berada dalam projek RTG ini, tetapi senarai nama kami belum tahu. Kita akan bertanya lagi untuk pastikan keseluruhan program macam mana, untuk nama semua, itu juga perlu jelas.
“Saya rasa projek ini memang sudah (perlu) bermula (dengan) waktu latihan perlu ada perkhidmatan sokongan untuk sokong kita, ada jurulatih yang melatih kita dari semasa ke semasa. Dari segi fizikal (perlu) ada jurulatih kecergasan (yang) jaga kita untuk bantu apa yang kurang,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.
Bulan lepas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan program RTG yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha memburu emas sulung di Sukan Olimpik.
RTG akan memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.
Bagaimanapun, senarai nama atlet yang bakal berada dalam program terbabit masih belum diumumkan dan dua ciri telah ditetapkan jawatankuasa RTG untuk atlet menyertainya, iaitu pemenang pingat di Sukan Olimpik serta atlet yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia. – Bernama