Monday, January 27, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik kalah Terbuka Indonesia

    JAKARTA, 18 JUN – Beregu lelaki utama Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas gelaran juara Terbuka Indonesia 2023 selepas tewas dalam aksi final di Stadium Istora, Senayan hari ini.

    Gandingan di ranking ketiga dunia itu tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-17, 21-18, iaitu kekalahan pertama dalam sembilan pertembungan membabitkan kedua-dua pasangan beregu lelaki itu.

    Pasangan Malaysia yang kali terakhir bergelar juara di Kejohanan Dunia tahun lepas, gagal mendominasi keseluruhan permainan manakala wakil India yang menghuni ranking keenam dunia itu beraksi tanpa tekanan.

    “Kita bermain agak tidak cukup tenang. Di awal permainan kita bermain baik tetapi mereka kejar semula enam mata berturut-turut, mula terganggu sedikit,” kata Aaron kepada pemberita selepas perlawanan.

    Manakala Wooi Yik pula berkata: “Kita sudah cuba yang terbaik untuk menang tetapi mungkin bukan hari ini. Kita lebih banyak bertahan dan tidak cukup berani.”

    Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memuji kesungguhan dan permainan dipamerkan Aaron-Wooi Yik yang telah banyak berubah.

    “Peluang untuk menjadi juara ada tetapi belum harinya untuk mereka,” katanya.

    Beliau berkata kedua-dua pemain itu perlu meneruskan permainan agresif serta kekal konsisten dan meningkatkan latihan fizikal. – Bernama

    Pemenang, Satwiksairaj Rankireddy (depan) dan Chirag Shetty (kanan) dari India serta naib juara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dari Malaysia bergambar semasa upacara penyampaian pingat beregu lelaki di Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda