Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik wakil tunggal Malaysia di Terbuka Jepun

    KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul sebagai penyelamat selepas wakil Malaysia yang lain tersingkir apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun 2023, hari ini.

    Beregu juara dunia itu hanya memerlukan masa 24 minit untuk menyingkirkan beregu nombor 14 dunia dari Indonesia,Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-12, 21-10 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo.

    Di saingan suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik, beregu nombor empat dunia, akan menentang pilihan kelima kejohanan dan pilihan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, untuk memburu tempat ke separuh akhir.

    Beregu tuan rumah itu mengesahkan slot suku akhir selepas mengatasi beregu China, Ren Xiang Yu-Tang Qiang 21-11, 23-21 dalam saingan selama 40 minit.

    Sementara itu, pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong, yang mengejutkan juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura semalam, gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila tewas di pusingan kedua di tangan wakil Jepun, Koki Watanabe 17-21, 14-21 dalam masa 46 minit.

    Pemain Jepun berusia 24 tahuun itu, yang menyingkirkan juara dunia dua kali dan rakan seMalaysia, Kento Momota, semalam, akan berdepan dengan pemain India, Lakshya Sen pada saingan suku akhir.

    Dalam pada itu, beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M Thinaah, gagal menebus kekecewaan tersingkir pada pusingan kedua di Terbuka Korea Selatan, minggu lalu, apabila tumpas sekali lagi di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 15-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda